Para nabi sentiasa menyimpan salasilah.
Dan terjadilah bahawa bapaku, Lehi, juga terjumpa di atas kepingan-kepingan loyang itu, suatu salasilah nenek moyangnya; oleh kerana itu, dia tahu bahawa dia keturunan Yusuf; ya, bahkan Yusuf iaitu anak lelaki Yakub, yang telah dijual ke dalam Mesir, dan yang dipelihara oleh tangan Tuhan, agar dia dapat memelihara bapanya, Yakub, dan seluruh keluarganya daripada mati kebuluran.
Lehi menemui salasilahnya dalam lempeng-lempeng tembaga dan mengetahui bahawa dia berketurunan daripada Yusuf dari Mesir.
Lihatlah, anak-anakku, aku berhasrat agar kamu harus ingat untuk mentaati perintah-perintah Tuhan; dan aku menghendaki agar kamu harus memaklumkan kepada rakyat tentang perkataan ini. Lihatlah, aku telah memberi kepadamu nama orang tua kita yang pertama yang telah keluar dari negeri Yerusalem; dan ini telah aku lakukan agar apabila kamu mengingati nama-namamu kamu boleh mengingati mereka; dan apabila kamu mengingati mereka kamu boleh mengingati pekerjaan mereka; dan apabila kamu mengingati pekerjaan mereka kamu boleh mengetahui bagaimana ianya dikatakan, dan juga dituliskan, bahawa mereka baik.
Helaman menamakan anak-anak lelakinya sempena nenek moyang yang soleh supaya apabila mereka mengingati nama itu, mereka akan teringat akan kebaikan nenek moyang mereka.
Sekarang nubuat inilah yang Adam ucapkan, sebagaimana dia digerakkan oleh Roh Kudus, dan sebuah salasilah telah disimpan tentang anak-anak Tuhan. Dan ini adalah buku kenangan bagi generasi-generasi Adam, mengatakan: Pada hari Tuhan menciptakan manusia, Dia menjadikan manusia menurut kemiripannya;
Sejak zaman Adam, salasilah anak-anak Tuhan telah disimpan, iaitu catatan keluarga yang pertama direkodkan.
Tetapi catatan-catatan nenek moyang, bahkan para bapa bangsa, mengenai hak Keimamatan, Tuhan Rajaku memeliharanya dalam tanganku sendiri; oleh kerana itu pengetahuan tentang permulaan penciptaan, dan juga planet, dan bintang-bintang, sebagaimana ianya diberitahukan kepada nenek moyang, telah aku simpan bahkan sehingga ke hari ini, dan aku akan berikhtiar untuk menulis beberapa hal ini di atas catatan ini, demi manfaat anak cucuku yang akan datang selepas aku.
Abraham memelihara catatan bapa-bapanya dan menulis untuk manfaat keturunannya.

Aku boleh memberikan suatu terjemahan yang lebih jelas tentang ini, tetapi ianya sudah cukup jelas untuk disesuaikan dengan tujuanku seperti sedia adanya. Adalah memadai untuk mengetahui, dalam hal ini, bahawa bumi akan dihentam dengan kutukan kecuali terdapatnya suatu ikatan yang kuat atau yang lain di antara para bapa dan anak, pada suatu subjek atau yang lain—dan lihatlah apakah subjek itu? Ia adalah pembaptisan bagi yang mati. Kerana kita tanpa mereka tidak dapat dijadikan sempurna; begitu juga dengan mereka tanpa kita tidak dapat dijadikan sempurna. Tidak juga mereka atau kita dapat dijadikan sempurna tanpa mereka yang telah mati dalam Injil juga; kerana ia adalah perlu dalam mendatangkan kegenapan zaman, yang mana zaman itu sekarang sudah mula datang, bahawa suatu kesatuan yang menyeluruh dan lengkap dan sempurna, dan gabungan zaman-zaman keagamaan, dan kunci, dan kuasa, dan kemuliaan akan terjadi, dan didedahkan dari zaman Adam bahkan sehingga sekarang. Dan bukan sahaja ini, tetapi hal-hal yang tidak pernah didedahkan sejak pengasasan dunia, tetapi yang telah disembunyikan daripada yang bijak dan pandai, akan didedahkan kepada bayi dan anak yang menyusu pada waktu ini, kegenapan zaman.
Pekerjaan untuk orang mati ialah “ikatan yang kuat” yang menyatukan generasi-generasi menjadi satu kesatuan yang sempurna.
Para saudara, adakah kita tidak akan meneruskan dalam tujuan yang sedemikian besar? Majulah dan janganlah mundur. Beranilah, saudara-saudara; dan maju, majulah menuju kemenangan! Biarlah hatimu bersukacita, dan menjadi amat gembira. Biarlah bumi bersorak-sorai dalam nyanyian. Biarlah yang mati menyuarakan lagu pujian kekal kepada Raja Imanuel, yang telah menetapkan, sebelum adanya dunia, apa yang akan membolehkan kita untuk menebus mereka keluar dari tahanan mereka; kerana para tahanan akan pergi bebas.
Seruan Joseph Smith yang penuh sukacita untuk terus maju dalam menebus orang mati, kerana para tahanan akan pergi bebas.
Lihatlah, hari Tuhan yang besar di depan mata; dan siapakah yang dapat berada pada hari kedatangan-Nya, dan siapakah yang dapat bertahan semasa Dia menunjukkan diri? Kerana Dia bagaikan api penyempurna, dan bagaikan sabun tukang cuci; dan Dia akan duduk sebagai seorang penyempurna dan penyuci perak, dan Dia akan memurnikan anak-anak lelaki Lewi, dan memurnikan mereka bagaikan emas dan perak, agar mereka boleh mempersembahkan kepada Tuhan suatu persembahan dalam kesolehan. Marilah kita, oleh kerana itu, sebagai sebuah gereja dan suatu umat, dan sebagai para Orang Suci Zaman Akhir, mempersembahkan bagi Tuhan suatu persembahan dalam kesolehan; dan marilah kita mempersembahkan di dalam bait suci-Nya yang kudus, apabila ianya selesai, sebuah kitab yang mengandungi catatan tentang orang-orang kita yang sudah mati, yang akan layak untuk semua penerimaan.
Para Orang Suci dijemput untuk mempersembahkan di dalam bait suci sebuah kitab yang layak, yang mengandungi catatan tentang orang-orang mereka yang telah mati.